Terminal Persiaran Swettenham dibuka pada tahun 2010 dan merupakan terminal penumpang yang paling baru di Pelabuhan Pulau Pinang. Ia mempunyai dermaga sepanjang 400 meter dan sedalam 12 meter, membolehkannya menerima kapal persiaran yang paling besar. Selain dermaga utama, terdapat juga dua dermaga dalaman untuk kegunaan kapal yang lebih kecil.
Terminal Persiaran Swettenham (31 Ogos, 2011)
Kapal persiaran di dermaga Terminal Swettenham. (1 Mei, 2015)
Sekiranya kapal penumpang yang anda naiki singgah di Pelabuhan Pulau Pinang, anda perlu melalui Imigresen sekiranya kapal tersebut datangnya dari negara asing. Walaupun kebanyakan aktiviti Terminal Persiaran Swettenham merupakan penumpang dari kapal makan angin "Cruise to Nowhere", terminal ini juga digunakan untuk perkhidmatan feri antara Pulau Pinang dengan Acheh di Indonesia, dan juga dengan Pulau Langkawi dan Pulau Payar.
Terminal Persiaran Swettenham berada di sisi jalan yang bernama Pesara King Edward. Mereka yang singgah seketika di George Town dapat mengambil kesempatan meneroka kawasan-kawasan Tapak Warisan Dunia George Town yang berdekatan. Kebanyakan tempat ini dapat dilawat dengan berjalan kaki. Mereka yang memerlukan khidmat pemandu pelancong boleh menghubungi Penang Tour Guides yang menawarkan khidmat memandu pelancong berjalan kaki meneroka dan menikmati tempat tarikan pelancong di George Town.