SPICE Arena adalah sebuah stadium dalaman di Bayan Baru, Penang. Ia dahulunya dipanggil PISA atau Penang International Sports Arena. Stadium dalaman ini pada asalnya disiapkan pada tahun 2000 sebagai arena utama PISA, yang juga mengandungi Pusat Akuatik dan sebuah kompleks meletak kereta bertingkat. Apabila stadium ini diubahsuai untuk SPICE, ia ditukar namanya kepada SPICE Arena.
SPICE Arena berukuran 255 kaki (78.4m) panjang dan 131 kaki (40.3m) lebar. Ia adalah stadium dalaman yang paling besar di bahagian utara Malaysia. Stadium ini boleh dihawadinginkan sepenuhnya dan dapat memuat 10,000 orang penonton. Ia sering digunakan untuk pameran dan kejohanan sukan. Makan malam tahunan dan jamuan juga sering diadakan di sini. Bahagian lantai SPICE Arena berkeluasan 33,405 kaki persegi (3103 meter persegi) dan boleh menampung 3000 kerusi ataupun 140 gerai pameran. Terdapat ruang tambahan seluas 46,289 kaki persegi (4,300 meter persegi) yang boleh disewa di bahagian legar. Acara tahunan Penang MATTA Fair selalunya diadakan di sini kerana inilah satu-satunya venue yang cukup besar untuk memuat acara sebegini.
Setelah PISA diambilalih oleh SP SETIA, syarikat pemaju itu telah membelanja berjuta-juta ringgit untuk membaiki dan mengubahsuai stadium dalaman itu. Ini termasuk membaiki kerosakan yang sekian lama dibiarkan berlarutan, termasuk kebocoran di sana sini. Malahan sampai ke hari ini, masih lagi ditemui kebocoran yang disebabkan pengabaian kerja penyelenggaraan.
Saya telah dibawa meninjau SPICE Arena oleh Eksekutif Perhubungan Awam & Komunikasi Setia, Cik Aainaa Zulkiflie. Kami melawat arena utama, yang sekarang telah dibaiki dan dipasang dengan tempat duduk yang baru. Saya juga ditunjukkan ruang-ruang seperti bilik mesyuarat yang boleh disewa untuk pelbagai acara. Terdapat sebuah balai polis bantuan di SPICE Arena. Terdapat juga bilik menunggu untuk Orang Kenamaan dan Bilik Sidang Media. Walaupun bangunan ini dibina bertahun-tahun yang lalu, ini kali pertama saya menjejak kaki ke tempat-tempat ini. Pada keseluruhannya, SPICE Arena telah memberikan wajah baru yang cemerlang kepada stadium dalaman ini.
SPICE Arena (15 Mac, 2017)
Tempat duduk baru di SPICE Arena yang sudah dibaiki (15 Mac, 2017)
Bilik Sidang Media di SPICE Arena (15 Mac, 2017)
Pejabat Setia SPICE di SPICE Arena (15 Mac, 2017)
Ruang Menunggu untuk Orang Kenamaan di SPICE Arena (15 Mac, 2017)
Balai Polis Bantuan SP Setia di SPICE Arena (15 Mac, 2017)
Ruang yang disewa keluar di SPICE Arena (15 Mac, 2017)
Ruang yang boleh disewa untuk mengadakan acara di SPICE Arena (15 Mac, 2017)
SPICE Arena pada sebelah malam. (6 Ogos, 2016)
PISA (Penang International Sports Area) sebelum diubahsuai
Gambar-gambar SPICE Arena semasa dikenali sebagai PISA.
Penang International Sports Arena, sebelum project pengubahsuaian. (26 Ogos, 2008)
The flagpoles at PISA (26 Ogos, 2008)
PISA telah diurus oleh syarikat pengurusan acara PenEvents Sdn Bhd. (tel: 04 645 1934, www.penevents.com.my)
Maklumat terkini mengenai SETIA Arena
28 February, 2013 PISA akan dinaiktaraf dan diubahsuai, dan kemudiannya diberi nama baru iaitu SPICE.