"Saya bercadang nak ke Pulau Pinang. Apakah hotel yang boleh tuan syorkan?"
"Saya nak buat tempahan kat Hotel X. Apakah pendapat tuan akan hotel ini?"
Yang di atas antara contoh soalan yang seringkali saya terima dekat Penang Travel Tips. Antara kesemua orang di Pulau Pinang, rasanya sayalah yang paling kerap menerima soalan sebegini. Ia menunjukkan yang banyak orang hormati pendapat Penang Travel Tips, dan saya perlu membalas soalan sebegini secara ikhlas dan jujur.
Memang seronok kalau dipercayai, tetapi ini suatu peranan yang berat. Adakah sesebuah hotel patut disyorkan atau tidak disyorkan? Saya tidak boleh bergantung kepada kata orang, atau gambar-gambar dari risalah hotel itu sendiri. Kalau saya berbuat demikian, apalah faedah bertanya kepada saya?
Untuk memberikan kepada pembaca Penang Travel Tips pendapat yang boleh diterima, saya telah memulakan usaha untuk melawat hotel dan mengenali setiap daripada mereka. Saya akan menghubungi hotel dan meminta izin untuk melakukan lawatan untuk meninjau bilik dan kemudahan, dan jika mereka benarkan, menginap semalam dua dan menjamu selera di restoran mereka.
Dalam meninjau hotel, saya bukan sahaja melihat saiz bilik atau ukuran kolam renang, saya juga mentaksir hospitaliti. Lagipun industri perhotelan sebahagian daripada industri hospitaliti. Saiz bilik dan kolam renang boleh diukur, tetapi hospitaliti perlu dialami. Dalam pada itu, barisan hadapan adalah pasukan Komunikasi Pemasaran (Marcom) hotel itu. Jika kakitangan Marcom tidak dapat mempamerkan layanan mesra kepada saya, hotel tersebut tidak akan dicerminkan dengan imej yang elok.
Kebanyakan hotel tidak pernah ditinjau. Tidak menghairankan, kebanyakan masih dalam suasana angkat bakul, dan tidak pernah diteliti dengan mata yang saksama. Mereka harap setiap tetamu ikut sahaja setiap kata mereka tanpa persoalan, dan mempercayai setiap foto dalam risalah mereka. Oleh itu, apabila saya hubungi hotel dan mengatakan saya ingin membuat kajian, saya terima pelbagai balasan.
Seringkali, saya dapati hotel itu sudah mengenali siapakah saya, sebaik sahaja saya perkenalkan diri. Dengan pada itu, mudahlah tugas saya, kerana hotel begini sangat asyik mempamerkan dirinya kepada saya, dan saya sering dilayan seperti orang ternama. Dalam suasana begini, harus diingatkan bahawa pengalaman saya di hotel tersebut mungkin lebih bagus daripada pengalaman tetamu yang sebenar. Namun ia adalah tinjauan paling dekat yang dapat saya berikan.
Ada pula hotel yang langsung tidak mengenali siapakah saya. Kalau masih tidak mengenali saya walaupun sudah lebih sepuluh tahun pengaruh saya muncul di alam kembara web Pulau Pinang, bukan lagi silap saya. Dengan hotel-hotel begini, pertemuannya benar-benar kurang menyenangkan. Mereka akan meminta pelbagai statistik daripada saya, mempersoalkan tujuan saya dan sebagainya. Ada yang mahu saya gunakan hanya gambar foto yang diberikan oleh mereka. Walaupun saya bersedia menggunakan beberapa foto daripada mereka, saya mahu kebanyakan foto yang saya tunjukkan adalah foto yang saya sendiri tangkap.
Ada juga hotel yang terus tidak membalas utusan saya. Mungkin mereka terasa saya lakukan ini semata-mata untuk mendapat bilik dan makanan percuma. Sebaliknya, mereka tidak sedari yang usaha saya untuk kebaikan mereka sendiri. Kalau mereka tidak tahu yang di Pulau Pinang sayalah alat publisiti mereka yang muktamad (dan percuma), bukan saya yang rugi.
Oleh yang demikian, di Penang Travel Tips, saya akan mengesyorkan hotel yang telah saya buat tinjauan bilik dan kemudahan. Jelas sebabnya: kalau awak tidak memberi saya peluang meninjau awak, saya tidak dapat memuji awak kepada dunia, mahupun mengesyorkan awak kepada sesiapa. Penang Travel Tips tidak akan memberi pengesyoran ikut kata orang atau ikut risalah hotel. Yang ditulis mesti berdasarkan pengalaman sebenar. Berilah saya peluang nikmati hospitaliti anda, supaya apa yang saya katakan benar-benar berlaku.
Buat masa ini, saya sudah melawat beberapa hotel di Pulau Pinang, dan saya masih sedang menghubungi beberapa lagi. Mereka yang bersedia mengalukan kedatangan saya akan saya syorkan, mereka yang tidak membalas utusan saya akan diabaikan.