KLIA2 (GPS: 2.74477, 101.68513) adalah terminal penerbangan tambang murah untuk Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur. Terminal ini dibina dengan kos RM4 billion dan merupakan terminal yang dibina khusus untuk penerbangan tambang murah yang terbesar di dunia. KLIA2 memulakan operasi komersil pada 1hb Mei, 2014 dan dibuka secara rasmi pada 9hb Mei, 2014. Terminal ini meliputi kawasan 257,000 meter persegi. Ia mengganti terminal penerbangan tambang murah sementara LCCT yang kini telah dirobohkan.
KLIA2 mempunyai 68 pintu berlepas dan 80 titi udara atau aerobridge. Ian menggunakan kod IATA yang sama seperti terminal utama, iaitu KUL. Penerbangan yang menggunakan KLIA2, pada masa penulisan (April 2017) termasuk AirAsia, Tigerair, Malindo Air dan Cebu Pacific.
Untuk memberikan anda maklumat KLIA2 yang bersesuaian dengan kekendak anda, saya asingkan kepada tiga bahagian iaitu Berlepas dari KLIA2, Mendarat di KLIA2 dan Transit di KLIA2. Jika anda akan menggunakan terminal utama, sila rujuk maklumat Panduan Mengguna KLIA.
KLIA2 bersama Menara Kawalannya (9 Julai, 2016)
A pier with aerobridges at KLIA2 (5 April, 2017)
KLIA2 main terminal building (5 April, 2017)
An AirAsia plane at KLIA2 (5 April, 2017)
Berlepas dari KLIA2
KLIA2 adalah lebihkurang 70km dari pusat bandaraya Kuala Lumpur. Anda memerlukan sekurang-kurangnya satu jam untuk sampai, bergantung kepada keadaan trafik.
Jika ada orang yang memandu anda ke sana, dia boleh menggunakan jejantas untuk tiba di laluan di luar Balas Berlepas. Tempat ini hanya untuk menurunkan penumpang. Dia tidak dibenarkan menunggu lama di sana. Sesiapa yang ingin berada di KLIA2 untuk jangkamasa yang lebih panjang perlu meletak kereta di tempat letak kereta. Tempat letak kereta KLIA2 bertingkat-tingkat dan dapat menampung sejumlah 6,490 kereta. Ia juga mempunyai 52 tempat letak kereta untuk orang kurang upaya. Kadar letak kereta adalah RM4 sejam untuk 3 jam pertama, diikuti RM3 sejam untuk jam ke-4 hingga jam ke-9, dan kemudiannya RM2 sejam untuk jam ke-10 hingga jam ke-17, sehingga kadar maksima RM46 sehari.
Apabila anda mendekati terminal KLIA2, ikut lorong kiri untuk ke Balai Berlepas. Untuk meletak kereta, ikut lorong ke Tempat Letak Kereta. (9 Julai, 2016)
Tempat menurunkan penumpang di KLIA2. (9 Julai, 2016)
Laluan menurunkan penumpang. (Apr 2015)
Pada sebelah kiri adalah Tempat Letak Kereta Bertingkat KLIA2. Jangan anda ikut kereta-kereta yang diletakkan di bahu jalan, nanti kena saman pula. (9 Julai, 2016)
Pandangan jejantas ke Balai Berlepas KLIA2. (9 Julai, 2016)
Jika anda pergi ke KLIA2 dengan sendiri, pilihan anda termasuk teksi, tren dan pandu-sendiri.
Teksi: Mana-mana teksi pun boleh membawa anda ke KLIA2. Walaupun banyak yang enggan menggunakan meter, tetapi cubalah desak drebar agar guna meter. Perjalanan dari Kuala Lumpur ke KLIA2 akan menelan belanja antara RM80 dan RM100. Menaiki teksi adalah pilihannya kalau anda pergi dalam sekumpulan kecil.
Tren: Kedua-dua tren KLIA Ekspres dan KLIA Transit berhenti di KLIA2 selepas singgah di terminal utama KLIA. Tambang tren dari KL Sentral ke KLIA2 ialah RM55 (Apr 2017). Jika anda menaiki KLIA Transit dan membeli tiket ke Putrajaya/Cyberjaya dan kemudiannya membeli tiket ke KLIA2 dari sana, jumlah tambangnya lebih murah. Maklumlah, ini menelan lebih masa.
Anda boleh meletak kereta di tempat letak kereta KLIA2 untuk jangka panjang selama 18 hari. Kadar hari pertama ialah RM46, tetapi menurun untuk hari-hari berikutnya, sehingga kadar maksima RM438 untuk 18 hari.
Terletak di antara laluan menurunkan penumpang dan terminal utama KLIA2 ialah sebuah pusat membeli belah yang dipanggil gateway@klia2. Pusat membeli-belah ini seluas 70,000 meter persegi. Ia mempunyai banyak kedai dan tempat makan. Sebenarnya terdapat kedai dan restoran bukan sahaja di sini, tetapi juga di Balas Berlepas, Balai Ketibaan, dan tempat-tempat lain lapangan terbang ini.
pusat membeli-belah gateway@klia2 (9 Julai, 2016)
pusat membeli-belah gateway@klia2 (9 Julai, 2016)
Setibanya anda di KLIA2, anda perlu mula-mula sekali mendaftar masuk dan mendapat pas masuk atau boarding pass. Beberapa penerbangan termasuk AirAsia kini menawarkan perkhidmatan daftar sendiri menggunakan mesin daftar masuk yang juga dapat mengimbas paspot anda (pastikan anda letak paspot anda dengan muka utama menghala ke bawah, dan pegang supaya ia rata untuk diimbas) dan juga mengeluarkan pas masuk. Kalau kurang pasti, gunakan kaunter daftar masuk yang disediakan.
Pintu masuk ke Balai Berlepas KLIA2, dilihat dari gateway@klia2 (5 April, 2017)
Balai Berlepas KLIA2 (5 April, 2017)
Kaunter Daftar Masuk KLIA2 (5 April, 2017)
Kaunter Daftar Masuk KLIA2 (5 April, 2017)
Perlepasan Domestik asing daripada Perlepasan Antarabangsa. Pintu masuk ke balai Perlepasan Antarabangsa berada di tengah-tengah Balai Berlepas manakala pintu masuk untuk balai Perlepasan Domestik berada di sebelah kiri Balai Berlepas. Titian P, Q dan L adalah untuk Perlepasan Antarabangsa manakala Titian J dan K adalah untuk Perlepasan Domestik.
Pintu Masuk ke Pelepasan Antarabangsa di KLIA2 (5 April, 2017)
Jika anda menaiki penerbangan domestik, pintu berlepas (departure gate) anda berada di Titian J atau K. Pintu masuk ke situ berada di sebelah kiri pintu masuk Perlepasan Antarabangsa. Pengawal akan menyemak pas masuk dan dokumen pengenalan (MyKad atau paspot) sebelum membenarkan anda masuk.
Travelator ke Titian J pada KLIA2 (5 April, 2017)
Jika anda menaiki penerbangan antarabangsa di Titian P atau Q, anda perlu menyeberang dari bangunan utama KLIA2 ke titian anda menggunakan jambatan skybridge. Apabila tiba di seberang, terdapat satu lagi tempat membeli-belah yang perlu diharungi sebelum sampai di eskalator untuk turun ke Titian P dan Q.
KLIA2 Skybridge (5 April, 2017)
Tempat membeli-belah di KLIA2 berdekatan titian P dan Q. (5 April, 2017)
Ikut papan tanda untuk ke eskalator ke Titian P dan Q. (5 April, 2017)
Eskalator ke pintu berlepas pada Titian P dan Q. (5 April, 2017)
Mendarat di KLIA2
Jika anda mendarat di KLIA2, setibanya di lapangan terbang, ikut sahaja papan tanda untuk keluar dari lapangan terbang. Terminal ini mempunyai lima titian yang diberi nama J, K, L, P dan Q. Anda diarahkan mengutip bagasi, dan sekiranya anda tiba dengan penerbangan antarabangsa, anda perlu melalui kastam dan imigresen.
Karusel bagasi di KLIA2 (5 April, 2017)
Jika terdapat orang yang akan menyambut anda, dia perlu menunggu di Balai Ketibaan. Kalau bukan orang yang dikenali, pastikan dia memegang papan tanda dengan nama anda.
Jika anda perlu meninggalkan KLIA2 dengan sendiri, pilihan anda termasuk tren, teksi, bas dan kereta sewa.
Menaiki tren dari KLIA2
Tren KLIA Ekspres dan KLIA Transit menghubungkan KLIA2 dengan KLIA dan KL Sentral. Stesennya berada di tingkat dua pusat beli-belah gateway@klia2. Tren KLIA Ekspres dapat membawa anda ke KL Sentral di pusat bandaraya dalam masa setengah jam. Tambangnya ialah RM55 sehala.
Pilihan alternatif ialah KLIA Transit, yang berhenti di beberapa stesen. Jika anda beli tambang ke stesen-stesen Putrajaya/Cyberjaya, turun dan beli tiket satu lagi dari sana ke KL Sentral, jumlahlah kurang dari tiket terus dari KLIA2 ke KL Sentral. Sudah tentulah, ini akan mengambil lebih masa.
Kaunter tiket tren KLIA2 (5 April, 2017)
Menaiki bas dari KLIA2
SkyBus dan Aerobus adalah dua syarikat bas yang menawarkan perkhidmatan antara KLIA2 dengan KL Sentral. Anda boleh membeli tiket di kaunter masing-masing pada Hub Pengangkutan Darat pada tingkat bawah gateway@klia2. Tiket untuk SkyBus juga boleh diperolehi apabila anda menempah penerbangan AirAsia, tetapi ia dapat dipulangkan kalau penerbangan anda tidak jadi.
Star Shuttle juga menawarkan perkhidmatan bas ke Terminal Bas Pekeliling pada, Batu 3 Jalan Ipoh.
Menaiki teksi dari KLIA2
Terdapat kaunter teksi pada Hub Pengangkutan Darat, di tingkat bawah gateway@klia2. Anda mempunyai pilihan sama ada menaiki Teksi Kupon, Teksi Meter atau Teksi Premier. Sama ada jenis Kupon atau Meter, jenis teksi yang diberi adalah sama, yakni teksi merah-putih. Yang berlainan hanyalah kalau guna kupon, harganya tetap manakala kalau guna meter, maka tambangnya bermula dengan RM2 dan kemudian ikut meter.
Teksi Premier berwarna biru. Tambangnya hampir dua kali ganda tambang teksi biasa. Yang lain hampir sama, kecuali, oleh sebab teksi begini mendapat kurang penumpang, anda tidak perlu tunggu lama untuk menaikinya.
Menyewa kereta dari KLIA2
Terdapat kaunter sewa kereta di KLIA2. Pilih jenama kereta yang bersesuaian dengan kehendak anda.
Transit antara terminal
Jika penerbangan anda yang seterusnya adalah di KLIA2, anda tidak perlu keluar dari terminal. Jika anda menggunakan AirAsia pada keseluruhan perjalanan, anda boleh menghantar bagasi anda sampai ke destinasi terakhir. Dengan itu, anda tidak perlu mengeluarkan bagasi di KLIA2. Anda sepatutnya juga telah mendapatkan pas masuk untuk setiap perjalanan pada lapangan terbang yang pertama.
Jika anda perlu berubah dari penerbangan domestik kepada penerbangan antarabangsa, cari papan tanda untuk Kaunter Pertukaran. Di sana anda akan melalui pemeriksaan paspot dan kemudian dapatlah terus ke pintu perlepasan.
Jika penerbangan anda yang seterusnya di terminal utama KLIA, anda boleh menaiki tren KLIA Ekspres ataupun KLIA Transit untuk pergi ke sama. Tren ini mengambil hanya 3 minit untuk bergerak antara terminal, dan pada masa penulisan (Mac 2015) tambangnya RM2. Tren ini akan terus bertolak sampai ke KL Sentral.