Petua Melawat Johor Darul Ta'zim adalah panduan untuk melawat dan menikmati tempat menarik di Johor. Johor Darul Takzim (Jawi: جوهور دارالتّعظيم), yang biasanya hanya digelar dengan nama Johor, adalah negeri yang paling ke selatan di Semenanjung Malaysia. Ia meliputi 19,984 km persegi (7,715 batu persegi) dan mempunyai jumlah penduduk 3.4 juta orang (anggaran 2011).
Johor Bahru adalah ibu negeri Johor. Bagi kebanyakan orang, bandaraya ini merupakan gerbang masuk ke negeri Johor. Akan tetapi, memandangkan bandaraya ini berada pada bahagian paling selatan negeri ini, jika anda bercadang meneroka tempat-tempat lain di negeri ini, mungkin bandar lain di Johor lebih sesuai digunakan sebagai tempet penginapan. Namun demikian, harus diingatkan yang selain Johor Bahru, kebanyakan bandar lain di Johor kecil-kecil sahaja. Bagi mereka yang inginkan peranginan tepi laut, Desaru di sebelah pantai timur negeri Johor adalah destinasi utama.
Negeri Johor disempadani Pahang di sebelah utara, Melaka dan Negeri Sembilan di sebelah barat laut, Selat Melaka di sebelah barat, Selat Johor di sebelah selatan, dan Laut China Selatan di sebelah timur. Singapura berada di seberang Selat Johor. Tanjung Piai di daerah Pontian merupakan tempat paling selatan di tanah besar Asia.
Johor adalah antara negeri yang paling membangun di Malaysia. Ibu negerinya Johor Bahru juga merupakan bandar diraja. Ia dahulunya dipanggil Tanjung Puteri. Ibu negeri Johor yang lama adalah bandar Johor Lama.
Nama "Johor" dikatakan berasal dari perkataan Arab Jauhar, yang bererti permata atau batu berharga. Sebelum nama Johor diambil, kawasan antara tebing selatan Sungai Muar hingga he Singapura digelar Ujong Tanah dalam bahasa Melayu, sebab kedudukannya pada Semenanjung. Terletak antara latitud 1°20"U dan 2°35"U, Johor adalah kawasan paling selatan pada tanah besar benua Asia.
Dengan keluasan 19,984 km persegi, Johor adalah negeri yang ke-5 besar dari segi keluasan. Jumlah penduduknya 3.3 juta orang meletakkan Johor pada tangga ke-3 antara negeri-negeri di Malaysia. Penduduk Johor terdiri daripada kaum Melayu 54% Malays, kaum Cina 35%, kaum India 7% dan bangsa lain 4%. Tempat tertinggi di Johor ialah Gunung Ledang (1276 m), yang juga dikenali dengan nama Mount Ophir. Pantai Johor berjumlah 400 km panjang merangkumi bahagian timur, selatan dan barat negeri itu.
Oleh sebab Johor dekat dengan khatulistiwa, ia mengalami iklim khatulistiwa. Musim hujan adalah dari bulan November hingga bulan Februari, apabila monsun timur laut bertiup dari Laut China Selatan. Purata hujan tahunan ialah 1778 mm. Purata suhu negeri adalah antara 25.5°C (78°F) dan 27.8°C (82°F). Kelembapan adalah antara 82% dan 86%.
Pergi ke Johor
Lapangan terbang utama negeri Johor adalah Lapangan Terbang Senai di Johor Bahru. Lebuhraya Utara-Selatan Laluan Selatan (E2) melalui negeri Johor, menghubungkan Johor Bahru kepada negeri-negeri di pantai barat Semenanjung Malaysia.