Hutan Lipur Sungai Teroi (GPS: 5.806318, 100.432159) adalah sebuah hutan lipur di Hutan Simpanan Gunung Jerai. Ia terletak di Daerah Kuala Muda, lebih kurang 11 km dari bandar Gurun. Sungai Teroi diliputi hutan bukit dan hutan dipterokarp bukit pada ketinggian 700 hingga 800 meter dari aras laut.
Hutan lipur ini mempunyai pelbagai kemudahan seperti tapak perkhemahan, tempat letak kereta dan astaka. Kami membawa makanan untuk dimakan di sana. Sebelum memulakan perjalanan ke sana, kami telah singgah di pasar dan membeli nasi kandar. Ketika kami tengah membuka bungkusan makanan di astaka, hujan turun dengan lebat. Oleh itu, kami menikmati sarapan tengah hari makan nasi kandar sambil menunggu hujan berhenti. Selepas makan, kami melipat dengan ketat kertas membungkus makanan sebelum membuangkannya ke dalam tong sampah, agar tidak diusik binatang seperti kera.
Di Hutan Lipur Sungai Teroi terdapat pokok dengan kulit yang pelik. Ia kelihatan seperti berkarat. Saya tidak pasti sama ada batang pokok itu berpenyakit ataupun ini sejenis kulampair yang tumbuh secara semulajadi di sini.
Hutan Lipur Sungai Teroi adalah dalam peta Gunung Jerai
Hutan Lipur Sungai Teroi (25 Julai, 2015)
Pokok-pokok berwarna karat di Hutan Lipur Sungai Teroi (25 Julai, 2015)
Terdapat sebuah taman orkid di Hutan Lipur Sungai Teroi. Sayangnya, didapati pokok orkid di sini dalam keadaan terbiar. Begitulah tahap penyelenggaraan di negara kita. Agak mendukacitakan. Walaupun dikatakan taman orkid, saya dapati kebanyakan pokok di dalam sangkar itu bukan orkid. Didapati pokok-pokok hutan dan paku-pakis sudah mengambilalih tempat orkid.
Taman orkid di Hutan Lipur Sungai Teroi, dalam keadaan mendukacitakan. (25 Julai, 2015)
Lantai hutan diliputi lumut. Apabila dipijak, rasanya seperti berjalan atas permaidani.
Lantai hutan yang diliputi lumut, di Hutan Lipur Sungai Teroi (25 Julai, 2015)
Lumut menyelimuti lantai di keliling pokok-pokok dengan batang berwarna karat di Hutan Lipur Sungai Teroi (25 Julai, 2015)
Moss-covered ground at Sungai Teroi (25 Julai, 2015)
Di Hutan Lipur Sungai Teroi terdapat sebuah kolam renang. Saya difahamkan yang air kolam datangnya dari Sungai Teroi yang berdekatan. Apabila saya tiba di situ, kolam itu kosong sahaja, tetapi sejurus kemudian, sekumpulan budak Melayu tiba di sana dan terus menuju ke kolam. Seronoklah nampaknya.
Kolam renang di Hutan Lipur Sungai Teroi (25 Julai, 2015)
Satu lagi pandangan kolam renang di Hutan Lipur Sungai Teroi (25 Julai, 2015)
Tidak jauh dari kolam renang tersebut ialah Sungai Teroi, sebatang sungai yang mengalir dari Gunung Jerai. Airnya deras. Kedua-dua tebingnya berumput dan berbatu. Terdapat sebatang titi merentasi sungai itu. Oleh itu, tak perlulah masuk sungai kalau nak menyeberanginya. Lagipun, memandangkaqn airnya yang begitu deras, baik guna titi.
Sungai Teroi mengalir deras dari Gunung Jerai (25 Julai, 2015)
Air sungai berkumpul dalam kolam di tepi tebing curam. Dari situ, ia masuk ke gaung.
Air Sungai Teroi berkumpul dalam kolam sebelum masuk ke gaung. (25 Julai, 2015)
Lata Sungai Teroi turun gaung di Gunung Jerai. (25 Julai, 2015)
Hutan Lipur Sungai Teroi terletak di cerun Gunung Jerai. Dalam perjalanan menaiki gunung itu, anda akan sampai di pintu masuk hutan lipur sebelum tiba di Muzium Perhutanan Gunung Jerai. Di muzium, anda boleh melihat pameran berkaitan hutan dan hasil hutan tempatan.
Timothy Tye di Hutan Lipur Sungai Teroi (25 Julai, 2015)