Kota Kuala Muda (GPS: 5.5868, 100.37588) adalah sebuah bandar kecil yang mendapat namanya dari kubu lama di tepi Sungai Muda. Bandar ini terletak di tempat di mana Sungai Terus mengalir masuk ke Sungai Muda. Di sinilah terasasnya sebuah kampung di mana diletakkan sebuah kubu. Yang tinggal hari ini hanyalah sebuah pintu gerbang kepada kubu tersebut dan juga batu-batu asas yang telah diperlihatkan dalam penggalian arkeologi yang dijalankan di kawasan itu beberapa tahun yang lalu.
Nama "Kuala Muda" hari ini merujuk kepada seluruh daerah di selatan negeri Kedah, pada muara Sungai Muda. Sebelum wujudnya negeri Pulau Pinang, Kuala Muda merupakan kawasan jajahan kesultanan Kedah pada kedua-dua belah sungai tersebut. Pada hari ini, di bahagian negeri Pulau Pinang masih terdapat sebuah kampung bernama Kampung Kuala Muda, manakala di Kedah pula terdapat sebuah kampung bernama Kampung Tepi Sungai.
Kuala Muda pada suatu ketika dijadikan ibu kota untuk Kesultanan Kedah. Ini berlaku semasa pemerintahan Sultan Ahmad Tajuddin Halim Shah II (1797-1843), iaitu Sultan Kedah yang ke-21. Pada masa itu, Kuala Muda merupakan sebuah pekan di kedua-dua belah Sungai Muda. Sebuah kubu telah dibina di sini untuk mengawal perdagangan bijih timah dan rempah yang melalui sungai ini. Tidak diketahui dengan tepatnya bilakah kubu itu dibina, kebarangkalian pada abad ke-18 ataupun lebih awal daripada itu.
Di seberang sungai dari Kota Kuala Muda ialah Permatang Bendahari, yang pada asalnya bernama Permatang Bendari. Di situ juga terdapat sebuah jeti lama untuk penumpang menyeberang sungai menaiki bot.
Penempatan Kota Kuala Muda telah berkembang setelah pihak British menduduki Pulau Pinang, disebabkan meningkatnya aktiviti perdagangan dengan Pulau Pinang. Pada tahun 1811, Sultan Ahmad Tajuddin telah menjadikan Kuala Muda residennya, untuk mengelakan dari ancaman Siam.
Pada tahun 1821, suatu rampasan kuasa telah berlaku di Kedah, apabila Kota Kuala Muda ditakluki Tengku Yaakob, iaitu adinda kepada Sultan Ahmad Tajuddin. Ini dilakukan dengan bantuan Siam. Setelah beberapa cubaan mendapat kembali kubu di Kota Kuala Muda tidak berjaya, baginda sultan telah memindahkan ibu negeri ke Alor Setar.
Satu lagi pandangan gerbang Kota Kuala Muda (1 Ogos, 2015)
Motif bulan sabit dan bintang pada Kota Kuala Muda (11 Mac, 2008)
Penggalian yang dijalankan ke atas Kota Kuala Muda (11 Mac, 2008)