Petua Melawat Labuan membekalkan kepada anda maklumat berguna untuk melawat Wilayah Persekutuan Labuan (Jawi: ولايه ڤرسكوتوان لابوان), sebuah pulau yang terletak 8 km daripada pantai Pulau Borneo. Ia adalah satu daripada tiga Wilayah Persekutuan Malaysia.
Wilayah Persekutuan Labuan terdiri daripada pulau utama, yakni Pulau Labuan, yang berkeluasan 75km persegi, dan enam pulau kecil dengan nama Pulau Burung, Pulau Daat, Pulau Kuraman, Pulau Papan, Pulau Rusukan Kecil, dan Pulau Rusukan Besar. Secara keseluruhannya, pulau-pulau ini mempunyai jumlah keluasan 92km persegi.
Kepulauan Labuan berada di persisiran pantai negeri Sabah dan Negara Brunei Darussalam di sebelah utara Teluk Brunei menghala ke Laut China Selatan. Pulau Labuan adalah sebuah pulau yang agak rata, dengan kemuncak tertingginya hanya 85 meter dari aras laut. Lebih 70% daripada pulau ini masih hutan belantara. Bandar utama di Labuan adalah Bandar Labuan, yang dahulunya dikenali sebagai Victoria. Ia adalah sebuah bandar pelabuhan menghala ke Teluk Brunei.
Dari segi sejarah, Labuan pada asalnya sebahagian daripada Kesultanan Brunei. Pada tahun 1840-an, pulau yang tidak berpenghuni ini telah dicadangkan untuk kem tentera British melawan lanun di Laut China Selatan. Sultan Brunei telah menyerahkan Labuan kepada Britain pada tahun 1846 and ia telah menjadi Tanah Jajahan Inggeris pada tahun 1848. James Brooke, Rajah Puteh Sarawak Yang Pertama, telah dilantik sebagai komander dan gabenor wilayah Labuan. Pada tahun 1849, Syarikat Kepulauan Timur menjadi satu-satunya syarikat yang diberi kebenaran untuk melombong arang batu dan mendirikan stesen batu arang di Labuan, untuk perniagaan dengan Negara China. Labuan kemudiannya menjadi tapak stesen kabel bawah laut antara Singapura dan Hong Kong.
Cerobong Labuan di Colliery Fields, Labuan https://commons.wikimedia.org/wiki/Category:Labuan_Chimney#mediaviewer/File:Labuan-Chimney.jpg Uwe Aranas
Labuan dijadikan sebahagian daripada Borneo Utara pada 1hb Januari 1890, dan pada 30hb Oktober 1906 pula, ia menjadi sebahagian daripada Negeri-Negeri Selat.
Pada Perang Dunia Kedua, Labuan telah ditawan oleh tentera Jepun dari Disember 1941 hingga Jun 1945 dan ditadbiri sebagai sebahagian daripada Unit Tentera ke-37 Jepun, Borneo Utara. Pada masa itu, Labuan diberi nama Pulau Maida, sempena Marquis Toshinari Maeda, komander tentera Jepun yang pertama di Borneo utara. Pulau ini ditawan semula oleh tentera Australia dalam Operasi Oboe Six, pada bulan Jun 1945. Labuan dikembalikan kepada nama dahulu dan berada di bawah pentadbiran tentera British seperti juga Negeri-Negeri Selat yang lain. Pada 15hb Julai, 1946, ia dijadikan sebahagian daripada British North Borneo, dan dari itu, menjadi sebahagian daripada negeri Sabah pada tahun 1963.
Labuan telah diserahkan oleh Sabah kepada Kerajaan Persekutuan pada tahun 1984. Ia menjadi wilayah persekutuan Malaysia yang kedua. Pada tahun 1990, Labuan dijadikan sebuah pusat kewangan antarabangsa dan zon perdagangan bebas. Ia adalah pusat kewangan luar pantai yang tunggal di Malaysia.
Pergi ke Labuan
Labuan dihubungi dengan Kuala Lumpur oleh penerbangan harian dari Malaysia Airlines dan AirAsia. Ia juga dihubungi dengan Miri dengan tiga penerbangan sehari menerusi MASWings, anak syarikat Malaysia yang mengambilalih operasi FlyAsianXpress.
Taman Kewangan Labuan https://commons.wikimedia.org/wiki/Category:Labuan_Financial_Park#mediaviewer/File:Labuan_Malaysia_Financial-Park-Complex-01.jpg Uwe Aranas