Apabila membeli tiket bas ekspres, pastikan anda pilih lokasi terminal yang paling sesuai dengan destinasi anda. Terminal Bas Ekspres Sungai Nibong terletak di Sungai Nibang, di bahagian tengah pinggir barat Pulau Pinang. Terminal bas ini lebih kurang setengah jam dari pusat bandaraya George Town. Sekiranya anda ingin menuju ke sebuah hotel yang berada di George Town, anda boleh menaiki bas awam Rapid Penang yang berhenti di Terminal Bas Ekspres Sungai Nibong. Perhentian bas Rapid Penang berada pada Jalan Sultan Azlan Shah (Bas 102, 303, 304, 305, 308 dan 401) dan Jalan Sungai Dua (Bas 303 dan 305). Tambang bas (ketika Februari 2017) adalah RM1.50 untuk Orang Dewasa. Selain itu, stesen teksi juga berada di tepi terminal bas.
Terminal Pengangkuatan Sementara Penang Sentral merupakan terminal pengangkutan sementara sehingga siapnya pembinaan terminal Penang Sentral yang kekal. Ia berada di Butterworth, bersebelahan Terminal Feri (Pengkalan Sultan Abdul Halim) dan Stesen Keretapi Butterworth. Stesen Teksi Penang Sentral juga berdekatan terminal bas.
Dari Terminal Pengangkutan Sementara Penang Sentral, anda dapat menaiki keretapi, feri, teksi dan bas awam Rapid Penang (601, 602, 603, 604, 605, 608, 701, 702, 703, 709 dan 801), yang mempunyai rangkaian laluan dari Penang Sentral ke seluruh Seberang Perai.
Terminal Pengangkutan Sementara Penang Sentral (Aug 2015).
Yang mana satu pilihanmu: Sungai Nibong atau Penang Sentral?
Sama ada anda menaiki bas ekspres ke Terminal Bas Ekspres Sungai Nibong atau ke Terminal Pengangkutan Sementara Penang Sentral terpulang kepada destinasi anda. Kalau destinasi berada di sebelah pulau, maka Terminal Sungai Nibong mungkin yang paling sesuai. Namun, kalau destinasi berada di lokasi Tapak Warisan Dunia George Town, Terminal Penang Sentral juga sesuai sebabnya agak mudah menaiki feri ke George Town dari situ, dan sebaliknya lebuhraya dari Sungai Nibong ke George Town kerap sesak. Kalau destinasi anda berada di Seberang Perai, maka tak syak lagi, Terminal Penang Sentral paling sesuai buat pilihan anda.
Membeli tiket bas ekspres
Tiket bas ekspres sehala ataupun ulangalik boleh dibeli terus dari terminal bas ekspres Sungai Nibong dan Penang Sentral. Anda juga boleh membelinya secara online menerusi beberapa laman seperti Bus Online Ticket.