Petua Melawat Putrajaya membekalkan anda maklumat berguna untuk melawat dan menikmati Putrajaya.
Putrajaya (GPS: 2.90443, 101.68054) adalah pusat pentadbiran Malaysia. Wilayah Persekutuan Putrajaya (Jawi ولايه ڤرسكوتوان ڤوترا جاي) adalah sebuah bandar yang dirancang, dan dibina di tapak yang sebelumnya merupakan ladang kelapa sawit dan bekas lombong. Putrajaya ialah tempat untuk melihat senibina termoden di negara ini.
Saya telah melawat Putrajaya beberapa kali, pada waktu pagi dan juga pada waktu malam. Gambar-gambar foto pada laman ini adalah hasil lawatan-lawatan ini. Saya amat berterimakasih kepada rakan-rakan saya yang sudi menunggu dengan sabar apabila saya berlari ke sana ke mari menangkap gambar sementara mereka terpaksa menunggu saya. Saya rasa mengembara bersama saya suatu pengalaman yang boleh membosankan kalau anda tidak berhasrat menangkap gambar seperti saya.
Susur keluar ke Putrajaya dari Lebuhraya Lembah Klang Selatan (9 July, 2016)
Pergi ke Putrajaya
Dari Udara
Jika anda mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), anda boleh menaiki teksi dan juga tren ekspres ke Putrajaya.
Dengan Teksi
Semasa saya menulis panduan ini, tambang dari KL Sentral ke Putrajaya ialah RM35. Tambang dari KLIA adalah lebih kurang RM60.
Dengan Keretapi
Tren KLIA Transit train berhenti di Putrajaya dalam perjalanan antara KL Sentral dengan KLIA. Terdapat satu tren setiap 30 minit, dan masa perjalanan dari KLIA ke Putrajaya ialah 20 minit.
Naik Bas
Terdapat bas dari Sinar Kota di Kuala Lumpur ke Putrajaya. Terdapat bas dari 6:30am hingga 10:00pm setiap hari. Dari KL Sentral, anda juga boleh menaiki bas RapidKL ke Putrajaya.
Istana Darul Ehsan, Putrajaya (6 June 2004)
Meneroka Putrajaya
Oleh sebab sistem pengangkutan awam di Putrajaya amat terhad, anda diseru memandu kereta untuk melawat tempat-tempat di bandar ini.
Sejarah Putrajaya
Cadangan untuk memindahkan pusat pentadbiran Malaysia dari Kuala Lumpur bermula pada lewat 1970-an. Tapak awal yang dicadangkan ialah Janda Baik, berdekatan Bukit Tinggi di Pahang, tetapi tempat itu didapati tidak cukup sesuai. Kemudian, pada bulan Jun 1993, Perdana Menteri Dato' Seri Dr Mahathir Mohamed telah memilih Prang Besar di Selangor. Satu setengah tahun selepas itu, kawasan di Prang Besar telah diberi nama Putrajaya, sempena Perdana Menteri Malaysia yang pertama, Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj. Mahathir telah merasmikan majlis perletakan batu asas pada bulan September, 1996. Tiga tahun kemudian, pada 4hb Jun 1999, kakitangan jabatan perdana menteri telah berpindah ke pejabat mereka yang baru di Putrajaya.
Geografi Putrajaya
Putrajaya meliputi 4581 hektar. Tapaknya merentang dari timur laut ke barat daya dan dikelilingi tasik dan paya. Jambatan-jambatan dibina untuk menghubungi kawasan-kawasan berlainan di Putrajaya Putrajaya.
Putrajaya dibahagikan kepada dua bahagian utama iaitu Kawasan Teras dan Kawasan Peripheral. Kawasan Teras meliputi 1069 hektar dan dibahagi kepada lima presint yakni Presint Kerajaan, Presint Komersil, Presint Sivik & Budaya, Presint Pembangunan Majmuk, dan Presint Sukan dan Rekreasi. Sebatang jalanraya 4.2km dibina sebagai arteri utama bandar ini, menghubungkan presint-presint di Kawasan Teras.
Kawasan Peripheral mengandungi 15 presint, dari mana 12 daripadanya untuk pembangunan perumahan. Di sini, sebanyak 67,000 rumah dirancang dan dibekalkan dengan sekolah, hospital, pusat membeli-belah, masjid, dewan serbaguna, pusat belajar dan taman kejiranan.
Adakah Putrajaya diperlukan?
Mungkin tidak. Bagi kebanyakan rakyat Malaysia, ia melambangkan hasrat untuk membina projek mega. Wang yang diperuntukkan untuk membinanya mungkin lebih baik digunakan di tempat lain. Sebaliknya, Putrajaya juga berdiri sebagai lambang semangat Malaysia Boleh - kalau orang lain boleh melakukannya, maka rakyat Malaysia pun boleh. Bagi saya, memandangkan kita telah dikurniakan Putrajaya sama ada mahu atau tidak, saya mengambil keputusan untuk menikmatinya!