Selat Melaka ialah selat yang mengasingkan Semenanjung Malaysia daripada Sumatra. Ia berukuran 850 km (530 batu) panjang dan merupakan antara selat yang paling panjang di dunia.
Selat Melaka adalah laluan kapal sejak zaman prasejarah. Ia merupakan laluan air yang membolehkan saudagar zaman dahulu tiba dari berlainan tempat di dunia sambil membawa barang-barang untuk diperdagangkan. Pelabuhan entrepôt yang dibangunkan di kedua-dua belah Selat Melaka menjadi tempat penemuan saudagar dari merata-rata termasuk Arab, Parsi dan India di sebelah barat, dan China dan Jepun dari sebelah timur. Kerajaan yang diasaskan di kedua-dua belah selat ini termasuk Kerajaan Srivijaya dan Kesultanan Melaka. Kapal yang mengharungi selat ini sering diancam lanun sejak berkurun dahulu.
Bahagian persisiran pantai Selat Melaka diliputi paya bakau, dengan setengah tempat terdapatnya pantai berpasir.
Pemandangan Selat Melaka dari Pantai Kuala Sanglang di Perlis. (6 Julai, 2016)