Sejarah Bahasa Hokkien Pulau PinangSejarah Bahasa Hokkien Pulau Pinang (8 Oktober 2009)


Siapakah Orang Cina Pulau Pinang? Apakah bahasa ibunda mereka? Apakah sejarah bahasa itu? Mengapakah mereka menggunakan bahasa itu? Itulah persoalan yang saya hadapi, apabila saya berdepan dengan identiti saya, seorang berbangsa Cina di Pulau Pinang, Malaysia. Kalau dikatakan bangsa Cina merupakan satu-satunya bangsa utama di Malaysia, jawapannya terlampau general dan langsung tidak jelas. Negara China bukankah sebuah negara yang amat besar? Dari manakah di negara itu datangnya nenek moyang kami?

Kebanyakan Orang Malaysia tidak tahu jawapannya. Malahan, Orang Cina Pulau Pinang, yang menggunakan bahasa ibunda setiap hari, pun tidak tahu sejarah bahasa yang mereka gunakan.

Nama saya Timothy Tye. Saya pencipta kandungan dan YouTuber dari Pulau Pinang. Bahasa ibunda saya ialah Bahasa Hokkien Pulau Pinang. Dalam petikan ini, saya ingin menerangkan kepada anda sejarah bahasa ibunda saya, agar anda lebih memahami Orang Cina Malaysia, khususnya Orang Cina Pulau Pinang, bahasa ibunda kami dan langkah yang telah saya ambil untuk menyelamatkan bahasa ini.

Sejarah Bahasa Hokkien Pulau Pinang

Sebelum Bahasa Mandarin diperkenalkan di Malaysia pada awal abad ke-20, bahasa yang digunakan oleh Orang Cina di Pulau Pinang merupakan Bahasa Hokkien. Ia menjadi bahasa perantaraan bagi Orang Cina dari sukukaum yang berlainan. Sehingga ke hari ini, Bahasa Hokkien masih digunakan untuk pertuturan harian, walaupun Bahasa Mandarin semakin mengancam kedudukannya di kalangan generasi muda.

Di Malaysia, terdapat dua loghat Bahasa Hokkien yang utama iaitu Loghat Utara Semenanjung dan Loghat Selatan Semenanjung. Bahasa Hokkien Pulau Pinang adalah sebahagian Loghat Utara Semenanjung. Ia dipertuturi Orang Cina Pulau Pinang dan di sebelah utara Semenanjung Malaysia, dari Perlis sampai ke bandar Taiping.

Bahasa Hokkien Pulau Pinang adalah berasaskan loghat Bahasa Hokkien yang digunakan di bandar pelabuhan Zhangzhou, di Wilayah Hokkien, di selatan Negara China.

Sebaliknya, Loghat Selatan Semenanjung yang dipertuturi Orang Cina sepanjang pinggir pantai Semenanjung Malaysia, dari Perak sampai ke Johor dan juga di Singapura. Loghat ini berasal dari bandar pelabuhan Quanzhou, yang terletak kira-kira 130km ke timur Zhangzhou.

Zhangzhou dan Quanzhou merupakan bandar-bandar pelabuhan pada masa lampau, khususnya dari abad ke-16 sampai abad ke-20. Saudagar-saudagar Cina yang datang berdagang di seluruh Asia Tenggara, termasuk Melaka, pada zaman Kesultanan Melaka, dan kemudiannya pada zaman Pemerintahan Portugis dan Belanda, sebenarnya merupakan saudagar dari sukukaum Hokkien yang berasal dari Zhangzhou dan Quanzhou. Mereka telah membawa loghat Bahasa Hokkien mereka ke rantau ini.

Orang Hokkien zaman dahulu merupakan pelaut yang amat berpengalaman. Oleh sebab wilayah yang mereka duduki bergunung-ganang, dan sukar untuk bercucuk tanam, mereka menjadi pelaut dan saudagar. Mereka berdagang di seluruh Asia Tenggara dan Nusantara, di mana-mana sahaja terdapatnya pelabuhan untuk berdagang. Pada hari ini, Bahasa Hokkien digunakan bukan sahaja di Pulau Pinang, tetapi juga di Klang, Johor, Kuching dan oleh komuniti Cina di negara-negara lain termasuk Taiwan, Singapura, Medan dan Filipina. Namun demikian, loghat Bahasa Hokkien Pulau Pinang jauh berbeza berbanding loghat di tempat-tempat lain.

Kesemua saudagar yang datang ke Asia Tenggara untuk berdagang adalah orang lelaki. (Pada masa itu, orang wanita tidak dibenarkan meninggalkan tanah air.) Untuk mengukuhkan urusniaga mereka di setiap pelabuhan yang mereka kunjungi, saudagar-saudagar Cina ini telah berkahwin dengan wanita tempatan. Daripada perkahwinan campur ini telah wujudnya Bahasa Baba Melaka. Walaupun saudagar-saudagar Cina dapat menyebar budaya mereka ke Melaka, mereka tidak berupaya mewariskan bahasa yang mereka gunakan. Oleh sebab mereka sering merantau, anak-anak mereka dibiarkan di bawah asuhan ibu tempatan. Oleh itu, bahasa yang anak-anak mereka pelajari adalah bahasa tempatan.

Sepertimana yang telah disebut, saudagar-saudagar Cina yang melawat ke Melaka adalah dari sukukaum Hokkien. (Walaupun terdapat juga orang Cina dari sukukaum Teochew, Kantonis dan Hakka, golongan utama adalah Hokkien.) Oleh sebab itu, Bahasa Baba Melaka adalah bahasa Melayu dicampur beberapa perkataan Bahasa Hokkien. Pada masa itu (kurun ke-16 hingga ke-18), Pulau Pinang belum diasaskan. Perkahwinan campur antara saudagar Cina yang kesemuanya orang lelaki dengan wanita tempatan tidak membolehkan bahasa Hokkien untuk bertapak di Semenanjung.

Pada kurun ke-17, tercetus suatu peristiwa di Negara China. Peristiwa itu telah menyebabkan bahasa Hokkien, dan juga bahasa-bahasa Cina yang lain termasuk bahasa Teochew dan Kantonis, tersebar ke seluruh Asia Tenggara.

Peristiwa itu adalah kejatuhan Dinasti Ming. Ia berlaku pada tahun 1644. Dinasti Ming telah diganti oleh Dinasti Qing, yang diasaskan oleh orang Manchu yang berasal dari bahagian timur laut Negara China. Tentera Manchu dengan pantas menakluki Negara China, satu wilayah demi satu. Apabila tentera Manchu tiba di Wilayah Hokkien, suatu pertempuran sengit telah berlaku antara orang Hokkien dengan tentera Manchu.

Orang Hokkien akhirnya tewas. Untuk mengelakkan pemberontakan seterusnya, tentera Manchu mengarahkan orang Hokkien yang tinggal di persisiran pantai berpindah ke pendalaman. Perpindahan paksa ini menyebabkan banyak kesengsaraan dan kematian Orang Hokkien. Dalam keadaan pergolakan tersebut, banyak yang hilang tempat tinggal. Kawasan yang mereka dipaksa pergi pula tidak ingin menerima mereka. Pada masa itu, banyak orang Hokkien menjadi orang pelarian. Dengan pengalaman pelayaran yang sedia ada, mereka melarikan diri ke seluruh Asia Tenggara.

Orang-orang pelarian yang berasal dari bandar pelabuhan Zhangzhou tiba di utara Semenanjung, termasuk bahagian selatan Segenting Kra di Selatan Thailand. Buat kali pertama, bukan sahaja orang lelaki yang tiba, mereka membawa bersama seluruh keluarga, termasuk isteri, anak, ibubapa, malahan bekalan makanan dan binatang peliharaan juga tiba bersama. Oleh sebab saudagar Hokkien sudahpun berdagang dengan penduduk tempatan, mereka dibenarkan memulakan hidup baharu di tanah air baharu.

Kehadiran wanita dan anak-anak membolehkan pertuturan dalam bahasa Hokkien kekal digunakan sesama sendiri. Dengan itu, buat kali pertama, bahasa Hokkien dapat ikut berhijrah bersama mereka.

Loghat yang berasal dari Zhangzhou pun mula berakar umbi di sebelah utara Semenanjung Malaysia, sejauh Phuket di Thailand, dan Medan di Indonesia. Pada mulanya, hubungan mereka dengan Wilayah Hokkien terputus. Mereka terpaksa memulakan hidup baharu. Dengan terdedahnya mereka kepada budaya tempatan, mereka menghasilkan budaya baharu yang termasuk loghat baharu yang mengandungi banyak perkataan Orang Melayu. Masakan mereka, yang kini digelar masakan Nyonya, mencerminkan ramuan-ramuan yang terdapat di penempatan baharu.

Beberapa generasi kemudian, keadaan pulih semula, dan hubungan dagangan antara China dan Semenanjung bersambung kembali. Pada masa itu, saudagar Hokkien dapat kembali berdagang bersama Orang Cina tempatan yang merupakan keturunan pendatang pelarian. Kewujudan Orang Cina tempatan mewujudkan infrastruktur untuk saudagar Hokkien menetap juga.

Sebelum Pulau Pinang diasaskan, Orang Cina menetap di perkampungan pada muara sungai, seperti di Kuala Muda dan Kuala Kedah, di mana mereka dapat bekalan air jernih, dapat menyara hidup sebagai nelayan, dan dapat berdagang dengan saudagar yang tiba.

Setelah Orang Inggeris mengasas penempatan di Pulau Pinang, Orang Cina terus berpindah untuk menetap di sana. Pendatang dari Negara China berterusan. Mereka datang bukan sahaja dari Zhangzhou, tetapi juga dari bandar-bandar di Wilayah Hokkien seperti Quanzhou dan Xiamen. Walaupun Orang Hokkien dari Quanzhou dan Xiamen menggunakan loghat Hokkien yang berlainan dari mereka yang datangnya dari Zhangzhou, namun loghat Zhangzhou sudahpun diterima sebagai bahasa perantaraan Orang Cina di sebelah utara Semenanjung. Bukan sahaja orang Cina dari sukukaum Hokkien, malahan pendatang dari sukukaum Teochew, Kantonis, Hakka dan Hainan turut tiba di Pulau Pinang, dan mempelajari Bahasa Hokkien Loghat Zhangzhou sebagai bahasa perantaraan.

Loghat Zhangzhou bukan sahaja menerima pengaruh dari loghat Quanzhou dan Xiamen, ia juga menerima pengaruh dari Bahasa Kantonis, Teochew dan Hakka, dan juga dari Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris. Hasilnya suatu bahasa tempatan yang berasaskan Loghat Zhangzhou tetapi tidak lagi sepenuhnya Loghat Zhangzhou. Kini ia diberi nama baru, iaitu Bahasa Hokkien Pulau Pinang ataupun Penang Hokkien.

Anak cucu dari puak pelarian adalah mereka yang paling lama menetap di Semenanjung. Oleh sebab itu, bahasa yang mereka gunakan mengandungi banyak perkataan Bahasa Melayu. Mereka digelar orang Baba Nyonya Pulau Pinang.

Orang Baba Nyonya Pulau Pinang berlainan dari kaum Peranakan Melaka. Yang bezanya, Orang Baba Nyonya Pulau Pinang menggunakan Bahasa Hokkien bercampur perkataan Melayu; Orang Peranakan Melaka sebaliknya menggunakan Bahasa Melayu bercampur perkataan Hokkien.

Bahasa Hokkien merupakan bahasa lisan. Pada masa dahulu, bahasa ini digunakan hanya untuk bercakap, bukannya untuk bertulis. Sebabnya, orang Cina pada masa itu menggunakan bahasa yang berlainan untuk bertulis. Bahasa itu bukan Bahasa Mandarin, tetapi, Bahasa Cina Klasik, yang juga digelar Bahasa Cina Sastera.

Bahasa Cina Sastera adalah bahasa untuk berkomunikasi secara bertulis di seluruh Negara China, sehingga awal abad ke-20. Suatu keistimewaan Bahasa Cina Sastera adalah, walaupun tulisan yang sama digunakan di seluruh Negara China, cara membaca adalah mengikut sebutan tempatan.

Contohnya, orang Hokkien yang mempelajari Bahasa Cina Sastera akan membacanya ikut sebutan sastera orang Hokkien manakala orang Kantonis pula membacanya dalam sebutan sastera orang Kantonis. Dengan yang demikian, walaupun tulisannya sama, penyebutannya bergantung kepada sebutan setiap wilayah.

Bahasa Cina Sastera membolehkan pertuturan bertulis antara Orang Cina dari wilayah yang berlainan, walaupun mereka tidak dapat bercakap secara lisan kerana bahasa tempatan berlainan. Fenomena ini, yang digelar diglossia, membolehkan komunikasi dijalankan antara ibu negara dan setiap wilayah Negara China. Dengan cara ini, segala perintah dan urusan maharaja dapat sampai dan difahami seluruh pelosok Negara China.

Antara mereka yang tahu membaca Bahasa Cina Sastera dapat menggunakan perkataan-perkataan dari tulisan Cina Sastera untuk membuat ayat dalam sebutan harian atau vernacular. Namun demikian, cara pembacaan secara vernacular adalah cara yang tidak rasmi, memandangkan segala urusan rasmi dikelolakan dalam Bahasa Cina Sastera.

Sejak Pulau Pinang diasas hingga ke permulaan abad ke-20, kebanyakan orang Cina yang tiba di Pulau Pinang adalah dari golongan miskin. Mereka berlainan dari anak keturunan orang pelarian yang tiba pada abad sebelumnya. Anak keturunan pelarian, yang kini digelar golongan Baba Nyonya sudah mengecapi kemakmuran manakala pendatang baharu masih miskin papa. Pendatang baharu datang mencari rezeki sebagai pekerja lombong, buruh kasar dan orang suruhan. Hampir kesemua mereka buta huruf. Hanya segelintir orang Cina di Pulau Pinang yang berpeluang belajar menulis Bahasa Cina Sastera. Boleh dikatakan kurang dari 1% Orang Cina di Pulau Pinang masa itu dapat berbuat demikian. Mereka terdiri daripada golongan saudagar dan golongan keimamatan, dan anak kedua-dua golongan ini. Golongan saudagar memerlukan kebolehan membaca untuk berdagang dan juga berhubung dengan Negara China, manakala golongan keimamatan memerlukannya untuk membaca kitab keagamaan.

Golongan Baba Nyonya pula lebih cenderung menghantar anak mereka ke sekolah Inggeris, agar mereka mendapat pelajaran yang dapat menjamin masa depan yang lebih cerah di Pulau Pinang. Bahasa Hokkien digunakan oleh Orang Cina Pulau Pinang secara lisan sebagai bahasa perantaraan sesama mereka.

Pada awal abad ke-20, suatu perubahan besar berlaku di Negara China yang juga meninggalkan kesannya kepada landskap bahasa di Pulau Pinang. Dengan terciptanya alat komunikasi jauh dan media massa, termasuk telefon, radio dan wayang, penggunaan Bahasa Cina Sastera untuk berhubung mula menunjukkan kelemahannya.

Kelemahan utama Bahasa Cina Sastera adalah ketiadaan pertuturan yang seragam. Walaupun ia membolehkan Orang Cina berhubung secara bertulis, Orang Cina yang memahami bahasa tempatan yang berlainan tidak dapat bercakap antara satu sama lain. Setelah menyelidik isu ini, Jawatankuasa Bahasa Kebangsaan Negara China pada tahun 1932 memutuskan agar Bahasa Mandarin Loghat Beijing dipilih sebagai asas untuk mewujudkan suatu bahasa kebangsaan.

Bahasa Mandarin Loghat Beijing dipilih walaupun ia berlainan dari segi tatabahasa dengan Bahasa Cina Sastera. Lagipun ia merupakan bahasa yang digunakan di ibu negara. Selain itu, penggunaannya juga amat meluas ke banyak wilayah-wilayah Negara China berbanding bahasa Cina yang lain. Oleh itu, Bahasa Mandarin Loghat Beijing dijadikan asas untuk pengwujudan Bahasa Mandarin Moden yang kita kenali hari ini.

Dengan adanya Bahasa Mandarin, seseorang dapat membaca dan bertuturan menggunakan penyebutan yang seragam. Dengan itu, orang Cina di seluruh Negara China dapat berhubung antara satu sama lain secara bertutur.

Sejak diperkenalkan, Bahasa Mandarin Moden telah diterima bukan sahaja di Negara China, tetapi juga oleh komuniti China di Malaysia dan Singapura. Ia adalah bahasa yang diajar di sekolah-sekolah jenis kebangsaan Cina di Malaysia, dan kebanyakan Orang Cina generasi muda mengenalinya.

Namun, demi memperkukuhkan Bahasa Mandarin, bahasa-bahasa Cina yang lain dikorbankan. Di sekolah-sekolah jenis kebangsaan Cina, murid-murid tidak dibenarkan bertutur dalam bahasa ibunda masing-masing, agar mereka menggunakan Bahasa Mandarin. Kejayaan memperkukuhkan Bahasa Mandarin meninggalkan kesan yang buruk ke atas bahasa-bahasa Cina yang lain, dan Bahasa Hokkien Pulau Pinang tidak terkecuali.

Bahasa Hokkien yang mempunyai sejarah yang sama tua dengan Pulau Pinang mendapati kedudukannya terancam. Generasi muda tidak lagi fasih menggunakannya, dan ada pula yang memandangnya sebagai bahasa orang yang tidak berpelajaran. Budaya Orang Cina Pulau Pinang begitu erat pertaliannya kepada Bahasa Hokkien Pulau Pinang. Sekiranya bahasa ini lenyap, ia akan membawa kesan kepada sejarah dan budaya Orang Cina Pulau Pinang.

Bahasa Hokkien Pulau Pinang sememangnya mempunyai beberapa kelemahan. Satu-satunya adalah perbendaharaan kata yang terhad. Oleh sebab kekurangan perkataan, pengguna bahasa ini sering terpaksa meminjam istilah dari bahasa-bahasa jiran seperti Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris dan Bahasa Mandarin. Tetapi, yang paling ketara adalah ketiadaan sistem penulisan untuk Bahasa Hokkien Pulau Pinang. Pada zaman sekarang, setiap bahasa perlu dapat ditulis agar penggunanya dapat berkomunikasi secara bertulis pada emel, Facebook dan WhatsApp. Ketiadaan sistem penulisan mencacatkan Bahasa Hokkien Pulau Pinang.

Sekiranya tiada tindakan diambil, Bahasa Hokkien Pulau Pinang akan pupus ditelan bahasa-bahasa yang kuat, yang mempunyai sistem penulisan yang matang.

Usaha menyelamatkan Bahasa Hokkien Pulau Pinang

Bahasa Hokkien Pulau Pinang merupakan bahasa ibunda saya. Saya menggunakannya di rumah dan juga bersama rakan-rakan saya. Malangnya, sukar mencari bahan atau material untuk mempelajari Bahasa Hokkien Pulau Pinang.

Sekiranya seseorang ingin pelajari Bahasa Perancis, Jerman atau Jepun, dengan mudahnya dia mendapat membeli buku yang mengajar bahasa-bahasa ini dengan lengkap. Tetapi untuk pelajari Bahasa Hokkien Pulau Pinang, tidak terdapat sebarang material yang mengajarnya dengan serius.

Untuk menyelamatkan bahasa ibunda saya dari lenyap sama sekali, saya mengambil langkah mewujudkan bahan pengajaran saya sendiri agar sesiapa sahaja yang ingin pelajari Bahasa Hokkien Pulau Pinang dapat melakukannya secara percuma.

Isu pertama adalah sistem penulisan. Suatu sistem penulisan mesti diwujudkan untuk Bahasa Hokkien Pulau Pinang.

Dari mula-mula lagi, saya telah mengambil keputusan yang tulisan Cina tidak sesuai untuk menulis Bahasa Hokkien Pulau Pinang. Sebabnya, saya mahu suatu sistem penulisan yang adil kepada semua orang, bukan sahaja mereka yang berpelajaran Cina tetapi sesiapa sahaja yang berpendidikan di Malaysia. Dengan ini, sesiapa pun dapat mempelajari Bahasa Hokkien Pulau Pinang, termasuk Orang Melayu, Orang India dan orang asing. Lagipun, Bahasa Hokkien Pulau Pinang tidak pernah mempunyai sejarah penulisan dalam tulisan Cina, adapun tidak rasmi dan secara rawak sahaja.

Walaupun Bahasa Hokkien Pulau Pinang tidak mempunyai sistem penulisan, terdapat beberapa usaha untuk mewujudkan sistem penulisan untuk Bahasa Hokkien (meskipun bukan untuk Bahasa Hokkien Pulau Pinang). Antara usaha terawal adalah hasil mubaligh Kristian kurun ke-19. Untuk menyebar fahaman agama, mubaligh Kristian telah mewujudkan suatu sistem penulisan romanisasi bergelar Rumi Gereja (Church Ruminisation). Ia digunakan oleh orang Cina yang baru memeluk agama Kristian untuk membaca Kitab Injil.

Rumi Gereja menggunakan tanda diakritik yang diletakkan di atas huruf, sebagai contoh, à, á, î, m̄, dan sebagainya. Sistem penulisan ini dicipta pada kurun ke-19, semasa kebanyakan orang menulis dengan tangan. Oleh itu, tidaklah menjadi halangan untuk meletakkan tanda-tanda diakritik ke atas huruf-huruf tertentu.

Sebaliknya, pada zaman sekarang, perhubungan bertulis dijalankan menggunakan keyboard dan telefon pintar. Alatan kini tidak dapat menaip tanda-tanda diakritik yang diperlukan untuk menulis Rumi Gereja selagi tidak dimuat turun app khas untuk menulisnya. Kalau terpaksa memuat turn app, maksudnya hanya sesiapa yang mempunyai app tersebut dapat saling berhubungi. Ini akan menjadi penghalang kepada usaha menyebarkan Bahasa Hokkien Pulau Pinang secara meluas.

Tanda-tanda diakritik ini diletak pada huruf-huruf adalah untuk mewakili nada sebutan. Tanda yang berlainan akan membawa sebutan dan maksud yang berlainan. Bahasa Hokkien Pulau Pinang adalah bahasa bernada. Kalau nada sebutan tidak ditunjukkan, maka tidak jelas apakah perkataan itu.

Bahasa Hokkien Pulau Pinang adalah bahasa bernada. Maksud setiap perkataan bergantung kepada nada sebutan. Sebagai contoh, kau bermaksud gantung, kâu bermaksud monyet, kàu bermaksud tiba, kāu bermaksud tebal, káu bermaksud sembilan, dan sebagainya. Nada yang betul mesti ditunjukkan supaya perkataan itu dapat dibaca dengan betul.

Tanda diakritik untuk Bahasa Hokkien berlainan dari tanda diakritik Rumi Pinyin yang digunakan untuk Bahasa Mandarin. Sebagai contoh, sebutan á yang digunakan oleh Bahasa Hokkien berlainan nadanya berbanding á pada Bahasa Mandarin. Sesiapa yang tidak tahu pasti akan tersilap baca. Sebaliknya, â yang digunakan di Rumi Gereja tidak wujud pada Rumi Pinyin, manakala ǎ di Rumi Pinyin tidak wujud di Rumi Gereja.

Sementara itu, Negara Taiwan juga mewujudkan sistem penulisan untuk Bahasa Hokkien Taiwan. Sistem penulisan Taiwan adalah berdasarkan Rumi Gereja, dan diberi nama Rumi Taiwan. Ia mengekalkan penggunakan tanda-tanda diakritik yang ada pada Rumi Gereja.

Setelah menyelidiki Rumi Gereja dan Rumi Taiwan, saya dapati sistem penulisan yang menggunakan tanda diakritik tidak sesuai sama sekali untuk menulis Bahasa Hokkien Pulau Pinang. Selain sebab utama yang telah ditimbulkan, orang tempatan tidak biasa dengan tulisan yang mengandungi tanda diakritik. Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris tidak menggunakan tanda diakritik. Oleh itu, orang tempatan tidak akan menerima sistem penulisan Rumi Gereja dan Rumi Taiwan.

Selepas lama memikirkan masalah ini, saya mengambil keputusan yang Bahasa Hokkien Pulau Pinang perlu ditulis menggunakan tulisan yang dicipta khas untuknya, yang mengambil kira kebolehan orang tempatan, dan juga ciri-ciri bahasa yang telah mereka pelajari. Ciri-ciri ini termasuk cara ejaan Bahasa Inggeris dan Bahasa Melayu, dan sistem nada Bahasa Mandarin.

Dengan ini, terciptalah sistem tulisan untuk Bahasa Hokkien Pulau Pinang pada tahun 2013. Namanya Rumi Taiji. Dalam penulisan Taiji, tanda diakritik diganti dengan nombor. Dalam sistem ini, terdapat lima jenis angka yang digunakan iaitu 1, 2, 3, 4 dan 33. Angka satu digit (1, 2, 3, 4) mewakili nada yang sama dengan Bahasa Mandarin. Dengan cara ini, sesiapa yang kenali empat nada Bahasa Mandarin serta merta memahami keempat-empat nada tersebut. Nada 1, 2, 3 dan 4 mempunyai sifat yang serupa. Nada 33 pula sama bunyinya dengan nada 3, tetapi sifatnya unik dan tersendiri.

Dengan cara ini, kau1 bermaksud gantung, kau2 bermaksud monyet, kau3 bermaksud tiba, kau33 bermaksud tebal, dan kau4 bermaksud sembilan. Apabila angka digunakan mengganti tanda diakritik, maka tulisan ini mudah ditaip pada sebarang keyboard dan telefon pintar.

Sekarang sudah sepuluh tahun sejak Rumi Taiji diwujudkan. Dalam masa sepuluh tahun itu, saya juga mewujudkan sebuah laman Facebook untuk mengajar orang ramai dan juga berkongsi pendapat dan fahaman antara pengemar Bahasa Hokkien Pulau Pinang. Pada masa sekarang, Laman Facebook ini mempunyai lebih daripada 17,000 pengikut.

Selain laman Facebook, material untuk mempelajari Bahasa Hokkien Pulau Pinang diperkenalkan. Yang paling mustahak ialah sebuah Kamus Bahasa Hokkien Pulau Pinang atas talian, yang dapat digunakan di mana-mana sahaja. Kamus ini mempunyai kelengkapan audio, agar pengguna dapat mendengar perkataan yang dicari.

Bagi sesiapa yang ingin pelajari Bahasa Hokkien Pulau Pinang, dia dapat lakukan secara percuma dari mana-mana jua di dunia, dengan mengikuti siri video di Saluran YouTube Learn Penang Hokkien, bermula dengan Bab 1: Pengenalan.

Harapan saya, dengan adanya suatu sistem penulisan yang moden, Bahasa Hokkien Pulau Pinang dapat dimodenkan, dan digunakan untuk pelbagai sebagai, sama ada untuk berkomunikasi secara bertulis di emel, Facebook atau WhatsApp, ataupun untuk tujuan menulis laporan, cerita, lagu, puisi, wayang dan lain-lain lagi, dan budaya tempatan Orang Cina Pulau Pinang dapat dihargai.

References

Read also: Belajar Tulisan Bahasa Hokkien Pulau Pinang of Penang Hokkien; Return to Penang Hokkien Grammar

Learn Penang Hokkien with Memrise

Now you can use the most user-friendly tool on the web to learn Penang Hokkien. It helps you to listen, understand and memorise. Go to Memrise, and learn Penang Hokkien at your own pace.

[an error occurred while processing this directive]

 Latest updates on Penang Travel Tips

About this website



Hello and thanks for reading this page. My name is Timothy and my hobby is in describing places so that I can share the information with the general public. My website has become the go to site for a lot of people including students, teachers, journalists, etc. whenever they seek information on places, particularly those in Malaysia and Singapore. I have been doing this since 5 January 2003, for over twenty years already. You can read about me at Discover Timothy. By now I have compiled information on thousands of places, mostly in Peninsular Malaysia and Singapore, and I continue to add more almost every day. My goal is to describe every street in every town in Malaysia and Singapore.
Copyright © 2003-2024 Timothy Tye. All Rights Reserved.